Saturday, November 26, 2011

Pengenalan dan Latar Ternakan Udang Harimau (Pennaus Monodon)

Udang harimau merupakan spesies udang panaeid yang terbesar dan paling banyak diternak di benua Asia.  Purata ukuran panjang keseluruhan spesies ini adalah di antara 18-26 cm dan berat badan boleh mencapai  sehingga 60-150g.  Secara semulajadi, spesies ini banyak didapati di perairan Taiwan, Filipina, Indonesia, Malaysia, Thailand, Australia, India dan Pantai Timur Afrika Selatan hinggalah ke kepulauan Sunda.

Penternakan udang harimau di Malaysia bermula secara tradisional di negeri Johor pada awal 1930an dengan penggunaan sistem kolam kepungan(traping pond) di mana anak-anak udang yang dibawa masuk ke muara oleh kejadian air pasang, diperangkap dengan pembinaan satu pintu air yang dibuka apabila air pasang dan ditutup semula apabila air mula surut.  Dengan kejayaan teknik ternakan larva di pusat penetasan pada tahun 1960-an, sektor-sektor kerajaaan dan swasta telah mula menubuhkan pusat-pusat penetasan pada tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an.  ini seterusnya mencerahkan prospek pengeluaran benih secara besar-besaran untuk mengatasi keperluan benih liar yang tidak mencukupi.  Dengan ini industri ternakan udang khasnya udang harimau, akan dapat  berkembang dengan lebih pesat lagi.

Di Malaysia, hampir keseluruhan ladang-ladang ternakan mengamalkan sistem ternakan atau secara separa intensif dan intensif di mana udang-udang yang diternak akan dipanen setelah empat bulan dilepaskan ke dalam kolam.  Mengikut sistem tersebut, kadar pelepasan adalah di antara 10-15 ekor/m2 atau 20-30 ekor/m2, masing-masing dengan anggaran hasil 1.0-2.5 tan metrik/ha/pusingan dan 3.0-6.0 tan metrik/ha/pusingan.

Ternakan udang harimau yang semakin intensif memerlukan komitmen penternak untuk mengamalkan sistem pengurusan kolam yang lebih baik bagi mengelakkan penyakit dan masalah yang berkaitan dengan kualiti air yang boleh mempengaruhi kadar tumbesaran dan kemandirian seterusnya hasil pengeluaran.  Strategi pengeluaran yang baik ditentukan oleh pemilihan spesies yang betul, kepadatan pelepasan, sasaran pengeluaran dan pencapaian ekonomi yang dirancang oleh penternak/pengusaha kolam.

Penaeus monodon merupakan spesies udang panaeid yang paling sesuai untuk akuakultur di Malaysia kerana ia dapat membesar dengan cepat dan mempunyai kadar kemandirian yang tinggi di dalam kolam air payau.  Ia adalah sejenis udang laut yang mampu hidup pada suhu di antara 18-32 darjah celsius dan saliniti yang rendah sehingga 12 ppt.  Di Asia Tenggara, pengeluaran udang harimau didapati semakin meningkat disebabkan oleh permintaan yang tinggi di peringkat antarabangsa.

Walaupun Malaysia mempunyai keadaan alam semulajadi yang sesuai untuk ternakan udang, namun pengeluaran masih lagi di tahap yang rendah berbanding dengan negara-negara lain di Asia dan Amerika Selatan. Keadaan ini berlaku kerana timbulnya masalah-masalah berkaitan dengan pengurusan air, kekurangan pengetahuan tentang aspek-aspek penetasan dan reka bentuk kolam, pendederan dan penternakan dalam kolam.

Di Malaysia, hasil pengeluaran udang harimau dari kolam air payau meningkat sejak pertengahan tahun 1980-an.  Pengeluaran udang harimau dari kolam air payau meningkat daripada 60 tan metrik dalam tahun 1984, kepada 3057 tan metrik pada tahun 1991.  Pada tahun 1992 pula, pengeluaran menurun kepada 2960 tan metrik.  Walaupun begitu, sepanjang tahun 1984-1991 pengeluaran meningkat sehingga 72.1%.  Angka terbaru menunjukkan pengeluaran udang harimau telah meningkat kepada 3937.43 tan metrik pada tahun 1993.  Ini menunjukkan pertambahan pengeluaran udang harimau sebanyak 33.02% berbanding pengeluaran pada tahun 1992, sejajar dengan pertambahan jumlah keluasan kolam ternakan.

Sistem ternakan udang harimau yang diamalkan boleh diklasifikasikan kepada sistem ekstensif, separa intensif dan intensif. Perbezaan utama antara sistem-sistem ini adalah dari segi kepadatan stok, teknik pengurusan kolam dan jangkaan hasil.  Sehingga kini, kebanyakan kolam di Malaysia mengamalkan sistem ternakan separa intensif atau sistem intensif dengan kepadatan stok di antara 15-40 ekor/m2.

Mutu air adalah penting untuk pengkulturan udang di dalam kolam terutamanya dalam sistem ternakan separa intensif dan intensif.  Untuk mengekalkan mutu air yang baik, ciri-ciri fizikal dan kimia air hendaklah sentiasa berada pada tahap yang sesuai.  Penukaran air kolam adalah penting kerana dengan melakukannya ia boleh.

a) menukar air tanpa oksigen dengan air yang mengandungi oksigen. terlarut yang tinggi,
b) mencairkan bahan-bahan toksik di dalam air dan
c) meningkatkan makanan asli (plankton) di dalam air kolam

Penggunaan pam sering dilakukan semasa memasukkan air ke dalam kolam.

Kandungan oksigen terlarut mestilah mencukupi untuk keperluan pernafasan udang.  Bahan toksik yang terhasil dari proses pereputan bahan organik pada sedimen dasar juga hendaklah dielakkan.  Suhu air yang paling sesuai untuk tumbesaran Penaeus monodon ialah di antara 28-32 darjah celsius.  Suhu air kolam yang kadangkala menurun sehingga 24 darjah celsius sedikit sebanyak akan membantutkan tumbesaran udang yang diternak.

Selain pengaruh suhu, kesan parameter-parameter air yang lain juga mempengaruhi tumbesaran dan peratus hidup yang diternak.  pH optimal bagi tumbesaran udang ialah antara 8.0-8.5.  Kesan oksigen terlarut juga mempengaruhi tumbesaran dan kadar kematian udang-udang yang diternak.

objektif ternakan udang adalah untuk membawa keuntungan kepada para pengusahanya.  walaupun begitu, adalah menjadi satu kesilapan yang besar untuk menyimpulkan bahawa kepadatan stok yang tinggi akan memberi keuntungan yang lebih banyak.

kadar pelepasan yang sesuai untuk sesuatu kolam bergantung kepada beberapa faktor seperti keadaan semulajadi kola, bilangan kolam dalam sesuatu kawasan, struktur dan reka bentuk kolam, peralatan yang digunakan, saiz untuk kutipan hasil dan pengalaman seseorang pengurus kolam.  Di lokasi yang mempunyai kualiti air kurang baik, hanya sistem pengurusan yang baik dan kepadatan pelepasan yang rendah sahaja dapat menjamin kejayaan.  Kepadatan pelepasan yang rendah sahaja dapat menjamin kejayaan.  Kepadatan stok yang lebih tinggi boleh diguna untuk mendapat pengeluaran yang berterusan (sustainable production) jika keadaan persekitaran kolam tersebut bersih dan mutu airnya baik.

Tempoh ternakan bergantung kepada sistem ternakan yang digunakan.  Apabila kepadatan pelepasan lebih rendah digunakan, iaitu kurang 15 ekor/m2, kadar tumbesaran adalah cepat dan udang boleh mencapai saiz pasaran (30-35g) dalam masa 60 hari.  Dalam sistem separa intensif dan intensif , pemungutan hasil selalunya dilakukan selepas 3-5 bulan udang diternak di dalam kolam.  Jadual 1.2 menunjukkan perbezaan ciri-ciri sistem penternakan udang yang biasa diamalkan oleh penternak udang laut.


























1 comment:

  1. terima kasih atas informasinya, akhirnya kajian saya pasal penternakan udang pun siap

    ReplyDelete