Tidak kira digoreng, dibakar atau dibuat sup, ikan haruan sememangnya
telah lama menjadi lauk hidangan rakyat Malaysia selain menjadi penawar
untuk menyembuhkan luka terutama kepada mereka yang baru menjalani
pembedahan dan bersalin.
Ikan air tawar jenis karnivor ini, yang
merupakan spesies asli hutan hujan tropika boleh hidup dalam air payau
dan biasa didapati di negara-negara rantau ini. Ia terbahagi kepada dua
jenis iaitu bersaiz besar dinamakan ikan toman (Channa melanostoma) dan
yang kecil ikan haruan (Channa striatus).
Profesor Abdul Manan
Mat Jais, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra
Malaysia (UPM), berkata "Ikan berkenaan adalah dalam kategori "Order of
Channiformes," "Family Channidae" dan "Genus Channa" dan yang saya
sedang kaji ialah Channa Striatus."
Beliau berkata terdapat 30
spesies ikan haruan di dunia dengan lapan jenis terdapat di Sarawak, dua
di Sabah dan empat di Semenanjung Malaysia.
Toman, bujuk dan haruan adalah dalam satu keluarga tetapi berlainan spesies.
Prof
Abdul Manan berkata keunikan haruan dewasa ialah ia menunjukkan
perlakuan monogami selain mempunyai daya penguasaan wilayah yang cukup
kukuh.
Ikan haruan boleh hidup dalam air yang bertakung, bergerak perlahan, cetek dan berlumpur.
Bagaimanapun,
kebiasaannya haruan boleh didapati di kolam, sungai, tasik, terusan
pertanian, sawah dan muara sungai. Terdapat laporan menyebut pemancing
pernah menangkap haruan bersaiz besar tetapi kebiasaannya berat ikan itu
hanyalah sekitar satu kilogram.
PENYELIDIKAN DAN ANALISIS
Prof
Abdul Manan berkata beliau memulakan penyelidikan ke atas ikan haruan
pada 1985 dan ketika itu beliau terkejut apabila mendapat tahu ikan itu
tidak dimasukkan dalam senarai ikan utama Jabatan Perikanan.
"Apa
yang saya dapati daripada penyelidikan itu ialah ikan haruan merupakan
satu sumber protein yang baik, kira-kira 60-70 peratus. Ia mengandungi
lemak yang rendah, hanya kira-kira 20 peratus daripada beratnya
berbanding dengan ikan air tawar lain serta daging, kambing, ayam dan
makanan laut," katanya.
Haruan mengandungi sejumlah besar Vitamin
A. Manakala kehadiran logam berat seperti kalsium, magnesium, tembaga,
besi, mangan, nikel, plumbum dan zink adalah lebih rendah daripada paras
toksik yang dibenarkan untuk badan manusia.
Prof Abdul Manan
berkata kandungan asid arakidonik yang tinggi, yang dianggap luar biasa,
dan dengan ketiadaan eikosapentaenoikasid dalam haruan adalah satu
hasil penemuan yang amat menarik.
"Asid Arakidonik adalah petanda
bagi prostaglandin. Ia memulakan proses darah menjadi beku dan
bertanggungjawab untuk pertumbuhan semula," katanya.
Haruan juga
mengandungi asid amino yang penting untuk menyembuhkan luka terutama
glisin yang merupakan satu daripada komponen penting kolagen dalam kulit
manusia.
Glisin merangkumi asid aspartik dan glutamik akan
membentuk molikul protein yang penting untuk pertumbuhan semula dan
penyembuhan.
"Oleh itu, ikan haruan mengandungi semua keperluan asas biokimia untuk penyembuhan luka," katanya.
MENGURANGKAN SAKIT SELEPAS PEMBEDAHAN
"Penemuan
kami menunjukkan bahawa haruan bukan sahaja menggalakkan penyembuhan
luka, malahan mengurangkan sakit selepas pembedahan," katanya.
Beliau
berkata dari ujian kekangan perut, pati haruan didapati bertindak
sebagai pautan-pekat bagi menghalang tindakan gerak balas.
Lebih menarik lagi, pati haruan dapat meningkatkan keberkesanan morfin.
Prof
Abdul Manan berkata penemuan itu memberi platform saintifik kepada
rakyat Malaysia, yang memakan ikan haruan untuk satu tempoh masa selepas
pembedahan, dapat menghindarkan kesakitan dan penyembuhan luka.
Beliau
berkata lendir ikan haruan mengandungi asid oleik dan linolik tak tepu
iaitu komponen utama lipid sepenuhnya, dan kandungan kedua-dua asid ini
didapati lebih tinggi dalam telur ikan. Telur segar haruan mempunyai
jumlah asid arakidonik yang lebih tinggi.
Prof Abdul Manan berkata
penemuan ini memberi kemungkinan peluang untuk mendapatkan jumlah
optimum asid lemak yang diperlukan untuk menyembuh luka dari bahagian
lain ikan haruan tanpa perlu mengorbankan ikan itu.
"Penemuan
awal mengenai khasiat anti bakterianya amat mengagumkan dan kami sedang
menumpukan kepada spesies yang boleh dihubungkan dengan penyembuhan
ulser perut ke atas haiwan dan manusia," katanya.
MAKANAN TAMBAHAN KESIHATAN BERASASKAN HARUAN
"Isinya
yang putih, pejal dan tidak bertulang sudah pasti menjadikan haruan
satu bentuk makanan serta makanan tambahan yang menjanjikan," kata Prof
Abdul Manan.
Beliau berkata ikan haruan mempunyai potensi untuk
industri makanan kesihatan kerana ia boleh dijadikan bebola ikan, sosej,
salami atau filet.
"Saya berharap untuk melihat haruan sebagai
ikan yang boleh diguna secara meluas dalam kehidupan seharian kita dan
secara komersial. Kita sepatutnya dengan bangga meletakkan haruan pada
paras yang setidak-tidaknya sama dengan salmon atau trout," kata Prof
Abdul Manan dan menambah kata beliau sedang melihat kemungkinan untuk
memperkenalkan haruan sebagai satu komponen klinikal.
Prof Abdul
Manan memenangi pingat gangsa Anugerah Mindex-Innotex untuk produk
penjagaan kulit berasaskan haruan pada 1996 dan satu lagi pingat gangsa
daripada Institut BioSains UPM pada 2004.
PERMINTAAN TINGGI
Manakala
Ketua Eksekutif Cheroh Aquatic Sdn Bhd, Wan Jusoh Zakaria, dari Raub
mengakui khasiat ikan haruan memang diketahui umum dan ia mendapat
permintaan tinggi di kalangan penduduk berbanding bujuk dan toman.
Beliau
mengakui hanya haruan jenis biasa bersaiz antara 300 dan 500 gram dan
yang hidup di habitat semula jadi paling digemari orang ramai.
Wan
Jusoh berkata pasaran ikan atau benih ikan haruan terutama di kalangan
penternak dari dahulu hingga sekarang amat menggalakkan hingga
kadang-kadang tidak mencukupi.
Bagaimanapun tidak ramai pengusaha
yang berjaya menternak ikan haruan secara komersial kerana ia memerlukan
kepakaran yang tersendiri tentang ikan itu.
"Selangor merupakan pengeluar terbesar ikan haruan secara komersial dengan Rawang banyak menghasilkannya," katanya.
Wan
Jusoh juga mengakui bahawa permintaan tempatan untuk ikan haruan
mencapai jumlah puncak yang baru seperti yang dapat dilihat dengan
permintaan yang memberangsangkan untuk filet haruan oleh masyarakat
Malaysia.
No comments:
Post a Comment