Malaysia mempunyai potensi pertumbuhan yang semakin baik dan cerah dalam perusahaan dan pengeluaran hasil akuakultur. Kerajaan telah mengenal pasti bahawa akuakultur merupakan sektor perindustrian yang penting dan boleh mendatangkan keuntungan yang besar jika diberi tumpuan dan galakan yang berterusan. Kejayaan industri ini seterusnya akan memberi sumbangan yang besar kepada sektor korporat negara kita.
Secara khususnya, industri pengeluaran akuakultur udang harimau begitu popular kerana permintaannya yang semakin bertambah dan harganya yang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pemilihan kawasan yang tidak strategik, penyediaan kemudahan infrastruktur, dan penyelenggaraan yang tidak teratur selalunya mengakibatkan kegagalan projek pengeluaran udang harimau. Dalam menentukan kejayaan sesuatu projek akuakultur, aspek kejuruteraan seperti reka bentuk dan perancangan yang teliti dan tepat, adalah amat penting.
Pemilihan kawasan
Pemilihan kawasan ternakan adalah bergantung kepada faktor-faktor seperti bekalan air, ciri-ciri tanah, topografi, cuaca dan kemudahan infrastruktur.
1. Bekalan air
Faktor utama yang harus dipertimbangkan dalam memastikan kesesuaian kawasan ialah bekalan air yang mencukupi di samping mutu air yang baik.
Bagi akuakultur pesisiran pantai, bekalan air laut dan air payau yang bersih diperlukan untuk mengawal saliniti, pembersihan dan juga keperluan lain. Bekalan air yang bersih boleh diperolehi daripada sumber bawah tanah atau pun di bahagian permukaan sesuatu punca air. Sumber air yang bersih dan segar boleh diperolehi daripada sungai, kolam dan sistem pengairan buatan manusia.
Masalah racun ataupun bahan-bahan pencemaran daripada air yang mengalir dalam sesuatu sistem pengairan adalah tidak serius. Namun begitu, air harus sentiasa dirawat sebelum disimpan dengan jumlah yang banyak di kawasan simpanan yang dikhaskan.
Bekalan sumber air payau ataupun air laut diperolehi daripada laut. Bekalan air laut ini diambil menggunakan pintu air pasang surut (tidal gate) ataupun pam air laut. Proses pengambilan air laut menjadi aset penting, bergantung kepada kualiti air laut pada waktu itu. Jika didapati sesuai, air laut ini akan dipam dan disimpan di kawasan simpanan, yang mana ia bergantung kepada lokasi pam.
Pengambilan air ini hendaklah bersesuaian pada tahap dalamnya laut, iaitu di luar kawasan pecahan ombak pada paras air pasang terendah. Ini boleh membantu menapis zarah-zarah yang terapung dan melindungi kecemaran yang disebabkan oleh bot atau peralatan menangkap ikan.
Mutu bekalan air merupakan salah satu faktor penting yang harus dipertimbangkan dalam pemilihan sesuatu kawasan. Sampel air daripada sumber air harus dianalisis secara fizikal, kimia, biologi dan mikrobiologi. Kawasan yang mempunyai sumber bekalan air yang baik seharusnya diberi keutamaan untuk pelbagai kegiatan projek akuakultur.
2. Ciri-ciri tanah
Penyelidikan ke atas tanah untuk projek akuakultur yang meliputi bahagian bawah dan permukaan, harus dibuat sebaik mungkin. Perbelanjaan boleh dijimatkan jikalau penyelidikan ke atas kesesuaian tanah dilakukan terlebih dahulu sebelum sesuatu perancangan, pembinaan infrastruktur dan operasi akuakultur itu dijalankan.
Pengkelasan tanah di permukaannya adalah mudah untuk dikenal pasti dengan pemerhatian dan deria rasa. Untuk lapisan tanah di bahagian bawah permukaan, ujian makmal mesti dilakukan untuk mengenal pasti lengkungan saiz zarah tanah.
Tanah liat gembur, iaitu tanah liat yang bercampur pasir, merupakan jenis tanah yang terbaik untuk pembinaan sesuatu kolam.
Konduktiviti tepu tanah merupakan salah satu faktor yang penting untuk mengenal pasti kadar ketelapan dan kesesuaian tanah untuk pembinaan kolam. Secara amnya, konduktivit hidrolik pada tanah lapisan bawah biarlah kurang daripada 5 x 10^-6m/saat. Data konduktiviti hidrolik boleh dikenal pasti secara luaran ataupun makmal.
Kaedah secara luaran untuk mengenal pasti konduktiviti tepu luaran adalah dengan mengorek lubang menggunakan pengorek (auger). Kaedah ini amat sesuai dijalankan di pesisiran pantai yang mempunyai paras air tanah yang tinggi.
3. Topografi
Secara amnya, topografi yang sesuai ialah kawasan yang mempunyai kadar kecerunan yang renda, yakni tidak melebihi 2%. Kawasan yang rata akan melambatkan proses pengaliran air dan boleh meningkatkan kos sewaktu operasi penangkapan. Jika topografi mempunyai kelengkungan dan kecerunan lebih daripada 2 - 5%, kos untuk menggali kolam adalah tinggi
No comments:
Post a Comment